Saturday 4 October 2014

hihihihi

2 tahun lepas
AKU memandang sekujur tubuh yang
terbaring lemah di atas katil hospital. Air
mata yang menitis segera aku seka. Bimbang
sekiranya dilihat jasad yang lemah itu.
Faiz membuka matanya perlahan-
lahan. Kepala dipalingkan ke arahku. Dia
melemparkan senyuman. Senyuman yang
penuh kehambaran. Senyuman di sebalik
kesakitan.
“Kau rehatlah dulu...” kataku
kepadanya.
“Aku rindu kau...” suaranya lemah
sekali. Aku cuba menahan empangan mata
yang kini menunggu masa untuk pecah.
“Aku pun rindu kau..” aku tewas!
Sekali lagi air mataku mengalir.
Terketar-ketar tangan Faiz
menghulurkan tisu kepadaku. Aku
menyambutnya.
“Kau tak boleh menangis lagi..Kau
kena tabah sebab lepas ni tak ada lagi orang
yang nak hulurkan tisu bila kau sedih..”
katanya tersenyum.
“Ke..kenapa ca..cakap macam tu?” aku
cuba bertutur meskipun tersedu-sedan akibat
menangis.
“Lepas ni aku tak boleh lagi berada di
sisi kau. Tak ada lagi orang yang akan usik
kau, marah kau dan cemburu dengan kau..”
“Janganlah..” belum sempat aku
menghabiskan ayat, dia menunjukkan isyarat
supaya berdiam.
“Dengar aku nak cakap, kau kena
tabah, kuat...Cuba cari pengganti aku. Aku
tak nak tengok kau sedih sebab bila kau
sedih aku juga turut sedih. Maafkan aku
kalau selama ni aku ada buat salah pada
kau..Aku ada sakitkan hati kau. Halalkan
makan minum aku..” bicaranya kadangkala
terhenti dek kerana perasaan sebak yang
cuba dikawalnya.
“Aku maafkan kau. Aku pun nak minta
maaf pada kau”
“Kau tak ada salah pada aku.. Aku nak
kau tahu, kau berada di carta nombor enam
dalam hati aku selepas Allah, Rasulullah,
Islam, Mama dan Papa.” tangannya cuba
membentuk bentuk hati.
“Maaf cik, pesakit perlu dibawa ke bilik
pembedahan sekarang” seorang jururawat
mengetuk pintu dan memaklumkan perkara
itu. Aku hanya mengangguk lalu bangun dari
kerusi.
“Ingat jangan sedih. Allah ada bersama
hambaNya. DIA tahu apa yang terbaik untuk
kita. Sampaikan salam aku pada kawan-
kawan kita. Selamat hari raya. Maaf zahir
dan batin. Sekali lagi maafkan aku sebab tak
ada di sisi kau pada hari raya ni.
Assalamualaikum sayang” dia sempat
memberi nasihat dan melemparkan
senyuman yang manis sebelum dibawa pergi
oleh tiga orang jururawat.
Aku terduduk di atas kerusi. Faiz,
insan yang bertakhta di hatiku. Mulanya
hanya sebagai rakan kini bertukar menjadi
kekasih hati. Entah mengapa aku berasa
bahawa dia akan pergi meninggalkan aku
buat selama-lamanya. Mukaku yang basah
dengan air mata, aku biarkan. Kaki
perlahan-lahan kuangkat menuju ke pintu.
Sebelum memulas tombol pintu, aku sempat
menoleh sekilas ke belakang. Satu figura
yang dicipta imaginasiku sendiri mulai
memunculkan diri. Kelihatan Faiz sedang
tersenyum manis sambil melambaikan
tangan padaku. Figura itu semakin menjauh
dan menjauh.
Aku menangis lagi. Air mataku begitu
murah saat ini. Perlahan-lahan aku
membuka pintu. Langkah ku atur ke ruangan
menunggu yang disediakan di sebelah pintu
masuk ward itu.
“Ann, mana Faiz?” tanya Amrul Zarieq
atau lebih dikenali dengan nama Rieq.
“Dia dah masuk bilik bedah” kataku
cuba menahan sedu. Malu jika tertangkap
dengan Rieq.
“Ya Allah, aku lambat! Aku teringin nak
jumpa dia” Rieq melurut rambutnya kasar.
Sesal kerana terlambat. Dalam banyak-
banyak rakan Faiz, Rieq lah yang paling
rapat dengannya. Kekangan masa sebagai
seorang penuntut di salah sebuah universiti
di luar negara membataskan dia untuk
segera pulang bertemu Faiz.
“Yang lain-lain mana?” tanyaku.
“Dia orang dalam perjalanan. Tadi ada
doa selamat sikit dekat surau taman
perumahan Faiz” terangnya. Dia mengambil
tempat di sebelahku. Mukanya diraup. Jelas
terpancar raut sedih pada wajah tampan itu.
“Ann....Aku..aku rasa bersalah” dia
serba tidak kena. Matanya menatap mataku.
Aku melemparkan senyuman.
“Sabarlah Rieq. Kita doakan dia
selamat. Kalau nak ikut menyesal, aku pun
menyesal” aku cuba menenangkannya.
Dalam hatiku, terselit juga perasaan
menyesal. Menyesal kerana merajuk dengan
Faiz. Peristiwa sebelum ini kembali terlayar
di mindaku.
TELEFON bimbit berjenama iPhone itu ku
lempar di atas katil. Sebal rasanya hatiku
sekarang ini. Kata-kata Faiz sebentar tadi
seolah-olah meletakkan aku di carta terakhir
dalam hatinya. Salahkah aku memintanya
menemaniku ke majlis reunion?
Beep! Beep!
Satu pesanan ringkas masuk. Aku
segera membukanya. Mana tahu Faiz
berubah fikiran?
Sekali lagi iPhone itu menjadi
mangsaku. Kali ini ku lemparnya pula pada
dinding. Skrin yang retak itu aku abaikan.
Apalah sangat skrin yang retak itu jika
hendak dibandingkan dengan hatiku
sekarang.
Faiz bukannya berubah fikiran malah
dia hanya menghantar mesej menyatakan
maafnya kerana tidak dapat menemani aku
ke majlis itu.
Arghh! Faiz memang tak sayang aku!
Aku mengambil bantal di sisi lalu
menekup mukaku. Malam itu, aku tidur
dengan hati yang sebal!
“ANN ..Ann.. kau okey?” panggil Rieq sambil
melambai-lambai tangan di hadapan
wajahku. Aku tersentak. Hilang kenangan
yang berlayar di mindaku tadi.
“Erk! Aku okey” dalihku. Masakan aku
hendak menceritakan segala kekesalanku
sedang Rieq juga dilanda perasaan kesal.
Aku tidak mahu membebankan lelaki itu.
Kasihan dia.
“Jom turun bawah...Budak-budak ini
ada dekat bawah. Hari ni kita berbuka dekat
luar sahajalah. Aku belanja..” pelawa Rieq.
Aku menggeleng perlahan. Cuba
menolak pelawan Rieq tanpa menyebabkan
hatinya terguris. “Tak apalah, aku makan di
sini saja. Aku nak tunggu Faiz. Kau pergilah
dulu..”
“Okey but kau ada nak tempah apa-apa
tak?” tanya Rieq prihatin. Mungkin dia
memahami gelodak jiwaku sekarang.
“Tak..” jawabku ringkas.
Rieq mengangguk seraya berlalu pergi.
Aku menghantar langkahnya dengan sebuah
keluhan. Hmm, kenapalah Fiz yang sakit?
Kenapa bukan Rieq? Astagfirullah! Tak baik
begitu. Hatiku yang gundah-gulana itu
segera ku tenangkan. Bimbang melawan
takdir pula.
Azan Maghrib kedengaran
berkumandang. Aku segera menuju ke surau
yang disediakan pihak hospital bagi
menunaikan tanggungjawab sebagai umat
Islam.
Usai menunaikan solat, aku kembali ke
tempat tadi. Mama Zita dan Papa Syah turut
berada di situ. Tidak ketinggalan juga rakan-
rakan seperjuangannya yang lain. Aku
bersalaman dan berpelukan dengan Mama
Zita. Wanita itu tabah sekali. Aku pula yang
kecundang dek tidak dapat mengawal emosi.
2 jam berlalu...
Pintu bilik bedah terbuka. Seorang
lelaki memakai tag nama Rishad
menghampiri kami.
“Ahli keluarga Faiz?” tanyanya. Segera
papa Syah dan mama Zita mengangguk.
“Maafkan kami Encik, Puan..Kami dah
cuba sedaya upaya kami bagi
menyelamatkan anak Encik dan Puan tapi
kanser perutnya sudah memasuki peringkat
keempat. Sabarlah Encik, Puan..Allah lebih
menyayanginya” selepas berkata, doktor itu
menepuk perlahan bahu papa lalu
melangkah pergi.
Berita yang baru dikhabarkan tadi
bagaikan halilintar yang menyerang bumi!
Aku jatuh terjelepok di atas lantai. Aku
seakan-akan tidak percaya dengan berita
yang aku dengari tadi.
“Faiz......” aku menyebut namanya.
Juraian air mata membasahi pipiku. Mama
Zita memelukku. Dia turut menitiskan air
mata. Papa Syah memandang sayu ke arah
kami. Rakan-rakan Faiz yang lain sedang
berpelukan sesama sendiri. Mereka turut
sedih dengan berita yang baru disampaikan
oleh doktor tadi.
“Mama Zita...Ann na..Nak tengok dia”
aku cuba mengawal suara.
Mama Zita memapahku untuk bangun
dari rebah. 3 orang jururawat sedang
menolak jenazah Faiz keluar dari bilik
bedah. Sampai di hadapan kami, mereka
berhenti. Aku menggagahkan diri untuk
menatap muka Faiz buat kali terakhir.
Terketar-ketar tanganku menarik kain
putih yang menutupi wajah kesayanganku
itu. Wajahnya tetap sama. Ada secalit
senyuman di wajah kaku itu. Aku menangis
lagi. Tubuh Mama Zita aku rangkul. Dia
menepuk-nepuk perlahan belakangku.
Jasad Faiz sudah dibawa pergi.
Pertama kali aku lihat air mata Rieq
mengalir. Bukan kerana putus cinta tetapi
kerana kehilangan seorang sahabat sejati.
Dan aku? Aku juga turut bersedih atas
kehilangan seorang kawan merangkap
kekasih.
“Ann ikut Mama Zita balik ya?
Sediakan apa yang patut. Papa Syah nak
pergi uruskan jenazah” utus Papa Syah.
“ Uncle , biar kami yang uruskan liang
lahad” kata Izz, sahabat merangkap geng
125ZR Faiz.
“Kalau itu cakap kamu, uncle ikutkan
saja..Terima kasih yang tak
terhingga uncle ucapkan” Papa Syah
tersenyum segaris. Meskipun lelaki itu tidak
menangisi pemergian ananya dengan air
mata, namun siapa tahu hatinya?
Aku mengikut Mama Zita pulang.
Urusan di hospital telah pun diserahkan pada
Papa Syah. Urusan di tanah perkuburan
pula, rakan-rakan Faiz telah mengambil alih.
MALAM kian gelap. Bunyi unggas menjadi
peneman aku kala ini. Aku memandang dada
langit. Sepi! Tiada bintang yang menghiasi.
Tiada bulan yang memancarkan cahaya.
Semuanya bagaikan bersedih atas pemergian
Faiz. Petang tadi, selesai sudah majlis
pengebumian arwah Faiz. Baba dan Umiku
pula sudah berangkat pulang ke Pahang atas
urusan perniagaan. Mereka juga turut
bersedih atas pemergian Faiz. Aku terdengar
derapan kaki seseorang menghampiriku.
Malas untuk berpaling menyebabkan aku
tetap statik tanpa sebarang pergerakan.
“Ann, sabarlah ya” cetus Mama Zita
dari belakang lalu melabuhkan duduk di
sebelahku. Aku melemparkan senyuman
hambar kepadanya.
“Ann memang dah sabar Mama Zita.
Kalau Ann tak sabar, petang tadi lagi Ann
dah meraung dekat kubur dia”
“Mama Zita pun sedih..Tapi nak buat
macam mana kan?”
“Tapi ma...Ann rindu dia..” empangan
mataku pecah. Air mata mengalir.
“Sebelum dia admit ward , dia ada
pesan dekat mama...”
“Pesan?” tanyaku ingin tahu.
“Dia pesan dekat Mama Zita dan Papa
Syah supaya jaga Ann macam anak kami
sendiri..Dia minta kami cari pengganti untuk
Ann..Dan dia juga suruh Ann masuk bilik
dia, lepas  seminggu dia meninggal” luah
Mama Zita. Air mata seorang ibu tumpah
jua.
Aku tersedu-sedan mendengar amanah
dari Faiz itu. Ya Allah, cubaan apa yang kau
berikan padaku ini? Aku tak kuat!
“Tiada sesiapa yang dapat ganti dia
dalam hati Ann” ujarku pendek. Mama Zita
menggeleng tanda tidak setuju.
“Allah sayangkan hambaNya. Dia
ambil seorang, dia ganti dengan yang lain.
Ann kena percaya pada takdir. Dah tertulis
jodoh Ann bukan dengan Faiz, nak buat
macam mana kan?” Mama Zita mengelus
pipiku. Aku melepaskan keluhan kecil. Dada
langit terus aku renung.
GENAP seminggu pemergian arwah Faiz. Hari
yang ku tunggu-tungu kini tiba. Aku tiba di
rumah Mama Zita pada pukul 2 petang. Aku
tidak hiraukan letih yang masih bersisa. Aku
kena cepat. Tak sabar rasanya hendak masuk
ke dalam bilik arwah Faiz. Kenapa mesti
tujuh hari? Pelik!
“Assalamualaikum” laungku selepas
menekan loceng.
“Waalaikumussalam. Eh, Ann
masuklah” pelawa Mama Zita seraya
memelukku setelah pintu pagar dibuka.
“Mama Zita dengan Papa Syah sihat?”
“Alhamdulillah kami sihat. Ann
dengan family ?”
“Kami pun sihat” aku senyum.
“Ann pergilah masuk bilik arwah.
Mama Zita nak ke dapur sekejap”
Aku mengangguk dan mula melangkah
naik ke tingkat atas. Terketar-ketar tanganku
sewaktu hendak memulas tombol pintu. Dada
usah cakap. Macam nak pecah ku rasakan.
Aku gagahkan diri untuk melangkah.
Suis kipas segeraku buka. Langsir pula
kuselak bagi membolehkan cahaya matahari
menerobos masuk ke bilik itu. Saat aku
berpaling, terkejutku dibuatnya. Gambar aku
dan arwah Faiz terpampang merata-rata di
dinding bilik itu. Setiap gambar pasti
ada caption tersendiri. Kakiku melangkah
mendekati katil. Sepucuk surat terletak
kemas di atasnya. Berdebar-debar aku
hendak membuka. Perlahan-lahan surat itu
aku keluarkan. Setelah berjaya dikeluarkan
dari sampul, aku mulai membaca bait-bait
kata yang ditulis dengan tulisan tangan itu.
Assalamualaikum Ann, sayang...
Cuba tengok hari ni hari apa? Berapa hari
bulan? Yeay, genap setahun kita kawan. Eh
kawan ke? Heeee :P Kat sini aku nak minta maaf
banyak-banyak sebab selalu buat kau sakit hati,
terasa, dan halalkan makan minum aku. Aku
tak lama Ann..Mungkin esok lusa Allah dah
ambil nyawa aku.
Kau ingat lagi tak masa kita mula-mula
kenal dulu? Punyalah sombong kau tu. Susah
betul aku nak rapat dengan kau. Haha,
kenangan tu akan aku bawa sampai mati.
Sungguh aku rindu nak ulang semua tu.
Aku minta kau jangan menangis. Jangan
meratap bila aku dah tiada di sisi kau. Even aku
dah tak ada sebelah kau, tapi aku tetap ada
dalam hati kau. Ingat tu! Jangan pernah padam
nama aku dalam hati kau. Tapi bila kau dah
jumpa pengganti aku, aku izinkan kau padam
nama aku dalam hati kau.
Sayang, maafkan aku jika selama ini
perbuatanku pernah mengundang
ketidakpuasaan di hati kau. Aku hanya insan
biasa yang tak punya apa-apa.
Aku tak nak tulis surat sedih-sedih. Rasa
macam cliché pula. Apa-apa pun jaga diri, jaga
iman, jaga mata, jaga nama baik keluarga dan
jaga agamamu Sayang. Aku nak pergi. Pergi jauh
dari sini.
Insan yang menyayangimu,
Muhammad Faiz
Mengalir sudah air mataku. Surat itu
aku bawa ke dada. Aku dakap erat. Surat itu
sangat istimewa bagi aku. Mungkin bagi
orang lain, ia tak ubah seperti sampah tapi
ia amat bermakna di mata aku.. Surat tulisan
tangan Faiz! Aku bangun dari katil menuju
ke dinding yang penuh dengan gambar
kami.
Perlahan-lahan aku sentuh gambar aku
dan dia. Ketika itu, kami bercuti di Pulau
Kapas. Percutian yang tidak dapat aku
lupakan kerana di situlah dia melamar aku
menjadi kekasihnya. Sungguh aku rindu
detik itu.
Aku melangkah ke almari baju arwah.
Pintu almari aku sorong perlahan.
Terpampang baju melayu cekak musang
berwarna biru yang tergantung kemas di
dalam almari. Sekeping nota dilekatkan pada
poket baju melayu itu. Aku segera
membacanya.
Sayang, cantik baju ni. Sorry sebab aku
tak sempat nak pakai baju ni. Semoga lebaran
kali ini membawa 1001 mana kepada kau. Salam
sayang daripada aku.
Faiz
Aku tersenyum. Tiada air mata yang
mengalir. Semuanya bagaikan kering. Akan
ku semat sekemas mungkin segala kenangan
bersama arwah. Semoga arwah tenang di
sana. Faiz, bersemadilah kau dengan tenang
di sana. Ku izinkan kau pergi. Dan kau juga
izinkan aku untuk menyimpan namamu
dalam hatiku selamanya.
Aku tersenyum. Akibat terlalu
mengantuk dan letih, aku tertidur ditepi
almari biliknya tanpa sengaja. Aku
bermimpi sesuatu. Dalam mimpiku, arwah
Faiz datang dengan memakai pakaian serba
putih. Dia tersenyum mengangguk. Mulutnya
seolah-olah berkata tetapi tiada suara yang
terdengar. Aku menangkap bait yang terukir
di bibirnya. Aku izinkan! Dia berkata
sedimikian. Namun, figura itu semakin
menjauh dan seterusnya hilang begitu
sahaja. Puas aku menjerit memanggil
namanya. Tiada sebarang sahutan yang aku
terima.
Aku terjaga dari mimpi. Peluh yang
membasahi dahi segera aku kesat dengan
hujung tudung. Ya Allah! Apakah petanda
mimpiku sebentar tadi? Adakah dia
menginzinkan aku? Subhanallah.
Baju melayu yang ku genggam erat itu
segera aku sangkut semula ke dalam almari.
Aku melangkah keluar dari bilik arwah.
Tujuan utama ialah ingin bertemu dengan
Mama Zita. Setelah kelibatnya kelihatan di
dapur rumah, aku segera mendekati.
“Mama Zita...” panggilku perlahan.
“Ya Ann?” sambutnya lalu berpaling
menghadapku.
Aku terus memeluknya lalu bermulalah
adegan air mata. Entah mengapa sebak yang
ku rasa tidak dapat dibendung lagi. Jika tadi
air mataku bagaikan sudah kering, kini air
mata bagaikan paip air yang tidak boleh
ditutup.
“Ann mimpi arwah datang...” luahku.
Mama Zita mengusap belakangku perlahan-
lahan bagi menenangkan aku yang tersedu-
sedan.
“Kita doakan dia ya? Moga dia tenang
di sana”
“Dia datang then dia sebut ‘Aku
izinkan’” ceritaku. Pelukan sudah ku lepas.
Mama Zita menarik tanganku untuk duduk
di kerusi meja makan. Aku menurut.
“Apa maksud Ann?” soalnya pelik.
“Sebelum Ann tertidur tadi, Ann minta
izin dia. Ann minta izin untuk simpan nama
dia dalam hati Ann selama-lamanya dan dia
izinkan...” aku kembali sebak.
“Subhanallah...Semoga Allah
menempatkan dia di golongan orang yang
beriman..Doakan dia tenang di sana” pujuk
Mama Zita lalu]cuba menenangkanku.
iPHONE yang terletak di atas meja segera ku
capai. Siapa pula yang call aku pagi-pagi
macam ini? Tanpa melihat nama pemanggil,
aku terus menjawab panggilan itu. Telefon
ku kepit ke telinga. Sejadah yang terbentang
segera dilipat.
“Assalamualaikum Ann..Ni aku Rieq..”
sapanya di sebelah sana.
“Waalaikumussalam. Hah kau Rieq,
ingat siapa tadi. Kenapa call aku pagi-pagi
buta ni?” soalku pelik. Jam dinding yang
tergantung kemas di dalam bilik segera
kukerling. 6.30 pagi.
“ Sorrylah kacau kau pagi-pagi macam
ni. Actually , aku just nak tanya yang kau
raya mana tahun ni? Balik kampung?”
“Aku nak balik mana Rieq? Kampung
aku tak ada sesiapa. Aku bukannya ada
saudara ramai macam kau. Nenek dengan
Atok aku pun dah tak ada. Aku raya dekat
sini saja.” memang benar, setiap tahun aku
akan beraya di bandar. Kadang-kadang
cemburu melihat rakan-rakan
seperjuanganku yang gembira hendak
menyambut Aidilfitri di kampung halaman.
Nak buat macam mana, Abi dan Umi aku
anak tunggal, mana ada saudara mara yang
lain.
“Erk! Kalau kau tak kisah, kau join lah
kita orang. Tahun ni, geng-geng kita semua
cukup. Semua berkorban masa semata-mata
nak raya ramai-ramai. Tapi kau tanyalah
Abi dan Umi kau dulu ya” ajak Rieq.
Bersinar mataku dibuatnya.
“Umi dan Abi aku tak ada. Kami
terpaksa berjauhan sebab dia orang
ada meeting dekat Dubai. Ikutkan, Umi tak
nak ikut tapi kau tahu sajalah kesihatan Abi
aku macam mana kan? So , Umi terpaksa ikut.
Dan aku, berayalah seorang diri di sini...”
ceritaku.
“Oh..kira jadilah ni ya?” tanya Rieq
menginginkan kepastian.
“ Set!” jawabku. Usai itu, talian
ditamatkan setelah Rieq meminta diri. Aku
mengerling meja kerja yang sememangnya
bertimbun kerja di atasnya.
SUASANA raya pada tahun ini agak suram
kerana ketiadaan Abi dan Umi di rumah.
Biasanya, pagi-pagi macam ini Umi akan
menjerit menyuruh aku bangun. Maklumlah
selalunya malam raya aku tidur lewat. Itulah
padahnya apabila asyik layan movie .
Aku merapikan selendang yang
melekap kemas di kepala sebelum keluar dari
bilik. Kunci kereta yang tergantung di
belakang pintu ruma segera dicapai. Aku
menutup pintu rumah dan mula
memanaskan enjin kereta.
Tiba-tiba, terasa sayup hati ini.
Biasanya pada waktu begini, aku sibuk ingin
bersalam dengan Abi dan Umi. Ya Allah, aku
lupa menghubungi mereka. Aku segera
mengeluarkan telefon bimbit dari tas tangan
LV pemberian Umi lalu segera mendail
nombornya.
“Assalamualaikum...” sebak usah
dikata. Aku cuba mengawalnya sebaik
mungkin.
“Waalaikumussalam. Selamat hari raya
sayang..” ujar Umi mesra.
Aku tersenyum. “ Selamat hari raya
Umi. Abi?” soalku.
“ Meeting..”
“Oh..Umi, maafkan Ann kalau Ann ada
sakitkan hati Umi, terbuat Umi marah dan
sebagainya..Halalkan makan minum Ann”
ucapku sebak dan air mata mengalir.
“Umi maafkan dan Umi halalkan
semuanya. Maafkan Umi juga ya sayang?”
“Ya Umi.. Kirim salam pada Abi..Ann
nak pergi beraya dengan geng ni”
maklumku.
“Insya-Allah. Kirim salam juga pada
geng” selepas salam diberi, talian
ditamatkan. Aku segera memandu menyusuri
jalan raya yang agak lengang pada hari itu
kerana warga kota sibuk pulang beraya di
kampung halaman masing-masing.
KERETA aku parkir di luar perkarangan
rumah Mama Zita. Rieq menyuruh kami
berkumpul di sana. Aku segera keluar dari
perut kereta setelah melihat kelibat Mama
Zita dan yang lain-lain sedang menanti aku
di depan pagar rumah. Terasa bersalah pula
kerana tiba sedikit lewat.
“Maaf semua, tadi ada hal sikit”
beritahuku. Mereka mengangguk dan
tersenyum tanda tidak kisah.
“Semua dah ada kan? So, let’s go ” ajak
Rieq. Papa Syah sedang menghidupkan enjin
kereta manakala kami masih di pagar
rumah.
“Pergi mana?” soalku pelik.
“Kubur arwah Faiz” beritahu Rieq
ringkas. Aku tersentak. Kenangan lama
kembali tersiar. Baju melayu yang tidak
sempat dipakai arwah, surat terakhir
darinya dan ucapan ‘selamat hari raya’ buat
pada hari itu merupakan ucapan kali
terakhir. Ya Allah, tabahkanlah hati
hambamu ini.
“Ann, kau naik
dengan Aunty sahajalah” arah Rieq. Aku
mengangguk. Mama Zita tersenyum dan
menarik lembut tanganku. Aku hanya
menurut.
Perjalanan ke kubur arwah mengambil
masa selama 10 minit kini telah tiba.
Kelihatan beberapa keluarga lain yang
datang melawat kubur ahli keluarga masing-
masing. Aku melangkah dengan kaki yang
berat sambil mengucapkan salam pada
warga kubur yang sudah menghadap maha
Pencipta. Mata sudah berair.
Rakan-rakan arwah seramai 15 orang,
menanti di luar pagar. Susah hendak masuk
semua, padat! Aku, Mama Zita, Papa Syah
dan Rieq mendahului mereka. Tikar
dibentang oleh Papa Syah dan kami mulai
duduk beramai-ramai.
“Assalamualaikum Faiz...Selamat Hari
Raya anak mama. Moga tenang di sana”
Mama Zita menangis dan sebak seraya
memeluk aku. Aku juga turut sedih.
Kami memulakan bacaan Yasin. Kata-
kata arwah suatu masa dahulu terngiang-
ngiang di telingaku.
‘Kalau aku dah tak ada nanti, kau
jangan lupa bacakan aku surah Yasin dan
doakanlah aku. Dan yang paling penting, kau
kena izinkan aku pergi..’
Ku izinkan kau pergi! Luahku dalam
hati. Meskipun berat untuk melepaskannya
pergi, tapi aku harus melakukannnya juga.
Sebak yang merajai hati segera aku tepis.
Kau tak boleh lemah Ann! Kau kena kuat!
Jeritku dalam hati.
3 tahun kemudian
Sudah 3 tahun arwah Faiz
meninggalkan aku. Rieq pula baru hendak
berkahwin dengan teman satu universiti
dengannya. Alhamdulillah! Tinggal aku
sahaja yang masih solo. Mungkin Allah
sedang menguji aku!
Beep! Beep!
Aku tersentak. Kenangan lama berlalu
pergi. Aku kembali ke dunia realiti. Pesanan
ringkas dari Rieq segeraku baca.
‘Kau dekat mana? Cepatlah datang
rumah aku’
‘Lah apa masalahnya? Kau yang nak
kahwin, bukannya aku’ balasku tersenyum.
Sengaja mengusiknya.
‘Mak aku kata, orang yang tak kahwin
lagi, kena pergi kenduri sebab mana tahu
jumpa jodoh dekat sana kan?’
‘Banyaklah mak kau yang cakap! Tu kau
yang cakap’ aku menggeleng-gelengkan
kepala. Ada-ada sahaja si Rieq ni.
‘Aku bagi masa 10 minit. Kalau kau tak
sampai jugak, kau bukan kawan
aku!’ ugutnya.
‘Eleh, tak payah sepuluh minit, 1 minit
pun aku dah boleh sampai’
‘Sembang nak kencang. Cakap macam
rumah kau belakang rumah aku pulak’
Aku menahan senyum. Derap kaki ku
kawal bunyinya.
‘ Bukan rumah aku yang belakang
rumah kau tapi..’ mesejku tergantung.
Sengaja!
“Tapi..aku yang belakang kau!” jeritku.
Dia segera berpaling. Muka terkejut!
“Kau ni!” protesnya. Aku hanya gelak
dan terus gelak.
“Dah jom pergi masjid. Karang orang
ingat aku nak culik pengantin lelaki pulak”
aku melepaskan tawanya. Dia meluku
kepalaku dengan telefon bimbit. Muncung
bibirku tanda merajuk. Giliran dia pula
ketawa. Tangan ditalakan pada muncungku.
Eleh, jeleslah tu sebab tak boleh buat
muncung macam ni!
“ANNIDEA FARAIMI..?” tanya seseorang di
sebelahku. Aku yang sibuk membelek telefon
segera menoleh. Dekat kenduri si Rieq ni,
manalah aku kenal jiran-jiran dia. Sesekali
tu aku senyum jelah, tapi larat nak
senyuman setiap masa.
“Excuse me! Do I know you? ” tanyaku
sopan seraya menghadiahkan senyuman.
“Fawwaz Alif ” dia memperkenalkan
dirinya.
“Macam familiar ..” bisikku perlahan.
Minda cuba memproses nama yang disebut
tadi.
“Your first boyfriend .” dia
mengeluarkan satu statement yang boleh
menyebabkan aku mati tersedak air. Nasib
tak tersembur air dalam mulut. Oh My Allah!
Fawwaz? Budak poyo? Tak mungkin berubah
sampai macam ni.
“Fawwaz budak poyo?” soaku tidak
sengaja. Dia tersenyum lantas mengangguk.
Mak aih! Handsome siot.
“I thought we still couple
right?” soalnya pula.
“Hah?”
“We never ended our relationship. Awak
tinggalkan saya tanpa sebarang
khabar ” katanya lagi. Erk! Yeke? Kenapa aku
tak ingat? Alah, dah bersalah! Tak ada
maknanya kau nak ingat Ann oi!
Burrr!
Ha kan dah kata. Basah wajahnya
dengan semburan dariku. Aku segera
mencapai tisu dan memberikan kepadanya.
“ Sorry! Tak sengaja” pintaku.
“It’s okay dear” dia tersenyum dan
membersihkan wajah.
“ So, can I?”
“Huh??” aku blur!
“Boleh saya sambung semula ikatan
cinta kita? Tapi dengan cara yang sah”
ujarnya berselindung di sebalik niat sebenar.
Pipiku merah. Malu! Perlahan-lahan
aku mengangguk. Semoga dia jodoh aku dari-
Nya.

No comments:

Post a Comment